Tuesday, March 30, 2010

Seminar Tarikh Lahir dari Kacamata Islam

SOALAN

Assalamualaikum, ustaz...... apakah hukum amalan menggunakan nombor-nombor pada tarikh lahir untuk tujuan mentafsir dan menganalisis kehidupan seseorg individu contohnya dapat mengetahui status kewangan, keharmonian keluarga, masalah bakal dihadapi dalam tahun-tahun yang dianalisis. Harap sangat dapat sertakan nas-nas naqli utk menangani isu ini. Wassalam terima kasih.

JAWAPAN

Perlu difahami bahawa, isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti mengetahui perihal sejarah silam, ramalan bala, ramalan perkara yang akan datang seperti yang disebut dalam soalan di atas, mengetahui sesuatu tentang makhlus halus dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada tiga sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran

b) Hadith Sohih dan Hasan

c) Fitrah kejadian alam (sunnatullah)

Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Naml ayat 65 : ertinya :

قُل لَّا يَعْلَمُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ

Ertinya : " Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT" .

SUNNATULLAH ( HUKUM ALAM) BOLEH DIPERCAYAI

Maksudnya adalah mempercayai sesuatu yang mempunyai ciri ghaib seperti meyakini esok akan berlaku hujan berdasarkan sunnatullah iaitu dilihat dari satelit maka di dapati kumpulan awan tebal di atas Malaysia. Ia adalah bentuk ramalan yang didasari oleh sunnatullah atau fitrah alam yang diharuskan.

Alah SWT menyatakan : Ertinya : "Andaikata kebenaran itu mengikuti hawa nafsu mereka, niscaya akan rusaklah langit dan bumi serta seluruh makhluk yang ada di dalamnya." (al-Mu'minun: 71)

Inilah yang perlu dimaklumi, bahwa alam ini dikendalikan dengan undang-undang dan hukum yang tetap, tidak pernah berubah dan berganti, sebagaimana telah dinyatakan oleh al-Quran dalam beberapa ayat, antara lain sebagai berikut:

Firman Allah ertinya : "Kamu tidak akan menjumpai sunnatullah itu berganti." (Fathir: 43)

Hasil dari kepercayaan ghaib tanpa didasari oleh tiga asas tadi, maka ramailah di kalangan umat Islam yang dihinggapi virus kerosakan aqidah.

Idea tilikan dan pengiraan tarikh lahir untuk mnegetahui hal yang akan datang termasuk status kewangan, keharmonian rumah tangga dan sebagai amat bercanggah dengan hukum Islam. Malah jika ingin digunakan hujah ‘sunnatullah' atau tajribah (percubaan dan analisa) pun ia tidak boleh sama sekali. Ini kerana analisa yang boleh diterima hanya analisa yang boleh dibuktikan melalui bukti-bukti saintifik dan fizikal, seperti ramalan cuaca melalui info lengkap dari kedudukan awan dan angin melalui alatan canggih moden dan visual dari satellite.

Begitu juga khasiat kayu-kayu tertentu untuk mengubati penyakit, menghalau binatang tertentu dan sebagainya. Ia juga bersifat fizikal iaitu kepada kayu tersebut dan bauan atau warnanya.

Namun kombinasi tarikh lahir dan kiraan matematik yang didakwa boleh mengetahui kejadian yang akan datang, masalah yang bakal menimpa, jodoh, sakit dan sihat, akan jadi kaya atau terus miskin dan yang sempamanya BUKAN dari sesuatu bersifat fizikal, tidak juga bersamaan dengan contoh yang kayu dan ramalan cuaca tadi. Hal seumpama ini tidak boleh sama sekali diramal menggunakan tarikh lahir.

NABI PUN TIDAK MENGETAHUI YANG GHAIB

Nabi Muhammad s.a.w. datang dan dijumpainya di tengah-tengah masyarakat ada sekelompok manusia tukang dusta yang disebut kuhhan (dukun) dan arraf (tukang ramal). Mereka mengaku dapat mengetahui perkara-perkara ghaib baik untuk masa yang telah lalu mahupun yang akan datang, dengan jalan mengadakan hubungan dengan jin dan sebagainya.

Justeru itu Rasulullah s.a.w. kemudian mengishtiharkan perang dengan sebarang dakwaan dusta yang tidak berlandaskan ilmu, petunjuk mahupun dalil syara'.

Rasulullah membacakan kepada mereka wahyu Allah yang berbunyi:

"Katakanlah! Tidak ada yang dapat mengetahui perkara ghaib di langit dan di bumi melainkan Allah semesta." (an-Naml: 65)

Bukan Malaikat, bukan jin dan bukan manusia yang mengetahui perkara-perkara ghaib. Rasulullah juga menegaskan tentang dirinya dengan perintah Allah s.w.t. sebagai berikut:

"Kalau aku dapat mengetahui perkara ghaib, niscaya aku dapat memperoleh kekayaan yang banyak dan aku tidak akan ditimpa suatu musibah; tidak lain aku hanyalah seorang (Nabi) yang membawa khabar duka dan membawa khabar gembira untuk kaum yang mau beriman." (al-A'raf: 188)

Oleh kerana itu, barangsiapa mengaku dapat mengetahui perkara ghaib, termasuk perkara akan datang dan lain-lain, bererti dia mendustakan Allah, mendustakan kenyataan dan mendustakan manusia banyak.

JANGAN JADI BOMOH SECARA TIDAK RASMI

Sebahagian utusan pernah datang ke tempat Nabi, mereka menganggap bahwa Nabi adalah salah seorang yang mengaku dapat mengetahui perkara ghaib. Kemudian mereka menyembunyikan sesuatu di tangannya dan berkata kepada Nabi: Tahukah tuan apakah ini? Maka Nabi menjawab dengan tegas:

"Aku bukan seorang tukang tenung, sebab sesungguhnya tukang tenung dan pekerjaan tenung serta seluruh tukang tenung di neraka."

Inilah yang dilakukan oleh bomoh-bomoh rasmi dan tidak rasmi hari ini, meramalkan perkara ghaib seperti meramal dimana boleh dijumpakan orang hilang, dan meramal melalui tarikh lahir, jumlah huruf pada nama seseorang malah adakalanya menyalahgunaan nombor surah al-Quran untuk tujuan ramalan mereka.

Memang tabiat bomoh atau dukun akan mendakwa mengetahui perkara ghaib seperti berita tentang perkara-perkara akan datang. Biasanya dakwaan tersebut bersandarkan perkhabaran yang dibisikkan oleh jin yang mencuri dengar ucapan para malaikat. Lalu dicampur-baurkan ucapan itu dengan ratusan kebohongan. Kemudian manusia mempercayai ramalan bomoh tersebut.

Masyarakat awam sepatutnya berwaspada dalam hal ini sebab bomoh kadang-kadang menzahirkan dirinya sebagai tukang ubat, peramal, ustaz, wali yang mampu melakukan beberapa perkara luar biasa seperti kebal dan lain-lain padahal mereka sebenarnya bukan wali Allah tetapi wali syaitan yang hanya akan merosak akidah umat.

Rasulullah s.a.w. bersabda :

Barangsiapa yang mendatangi bomoh untuk bertanya tentang sesuatu perkara lalu dia membinarkan apa yang bomoh itu katakan, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh hari. ( Riwayat Muslim )

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi :

Barangsiapa yang mendatangi bomoh lalu ia mempercayai apa yang bomoh itu katakan maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. ( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117 ; Muntaqa , 2/791 )

Semoga semua kita terselamat dari kesesatan dan kebahayaan syirik. Perlu diingat, perkara syirik sebegini, sengaja melihat dan menganalisa untuk tujuan ‘suka-suka' juga diharamkan. Ia perlu dijauhi sejauh-jauhnya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Thursday, March 18, 2010

REVOLUSI SIKAP

Pada tahun 50an lalu satu kajian telah dijalankan di University Yale untuk mengetahui berapa peratuskah di kalangan pelajar Universiti itu yang meletakkan matlamat jelas bagi kehidupan mereka. Hasil kajian menunjukkan bahawa hanya 3% sahaja dari kalangan pelajar universiti itu yang mempunyai matlamat jelas. 20 tahun kemudian sekali lagi kajian dijalankan untuk mengetahui perkembangan golongan yang mewakili 3% pelajar yang mempunyai matlamat itu. Hasilnya didapati bahawa mereka mempunyai kedudukan lebih baik daripada 97% kawan-kawan mereka yang tidak mempunyai matlamat.
Apakah matlamat? Mengapakah ianya penting untuk memastikan kejayaan yang kita impikan terhasil?
Dalam soal ini saya ingin mengajak saudara untuk melihat bagaimana Islam melatih penganutnya agar meletakkan matlamat bagi kehidupan dan mesti mempunyai matlamat yang jelas. Islam juga mengajar dan membimbing penganutnya agar dapat melaksanakan sesuatu tindakan berdasarkan matlamat yang telah diletakkan. Sebagai contoh matlamat kehidupan manusia di dunia ini adalah untuk kesenangan hidup di akhirat. Kesenangan hidup sdi akhirat bermaksud kita meletakkan matlamat untuk masuk syurga Allah. Bagi mencapai maksud matlamat hidup kita itu maka kita menjalani hidup di mjuka bumi ini berpandukan kepada syarat dan jalan yang boleh membawa seseorang itu masuk ke syurga yang di janjikan.
Seorang yang berjuang dijalan Allah tidak akan berpaling tadah kerana beliau tahu jika beliau berpaling tadah bermakna beliau telah lari dari matlamat sebenar perjuangannya. Seorang peniaga tidak akan menipu kerana beliau tahu dengan sebab menipu akan menyebabkan peluannya untuk masuk syurga akan terhalang. Seorang insane mulia tidak akan berzina, minum arak, berjudi dan melakukan apa-apa tegahan tuhan kerana ia tahu jika perkara itu dilakukan maka matlamatnya untuk masuk syurga akan tergendala. Itu contoh seorang yang meletakkan matlamat akhirat.
Bagi kehidupan kita didunia ini, kita juga mesti mempunyai matlamat yang jelas. Untuk maju kehadapan kita mesti tahu apakah target kita dan berusaha mencapai target itu. Seoarang opelajar yang meletakkan matlamat untuk memperolehi A dalam semua mata pelajarannya akan bertindak dengan belajar bersungguh-sungguh bagi memastikan cita-citanya itu tercapai. Seorang prebet yang bercita-cita atau meletakkan matlamat untuk menjadi RSM akan berusaha untuk mencapai cita-citanya itu. Bagi mencapai maksud tujuannya itu beliau akan memastikan setiap kursus yang melayakkanya mencapai cita-cityanya itu dihadiri dengan jayanya. Beliau akan mengkaji bagaimana cara yang diguna pakai oleh RSM terdahulu sehingga mampu mencapai ke tahap itu. Beliau akan terus berusaha sehingga cita-citanya tercapa
Orang yang ada matlamat adalah orang yang sedang menempah kejayaan bagi kehidupannya. Meskipun begitu kita sebagai umat Islam mesti memastikan agar matlamat yang hendak dicapai itu diusahakan mengikut lunas-lunas agama.
Apa yang menyedihkan kita ialah ramai dikalangan kita yang hanya meletakkan angan-angan tanpa meletakkan matlamat. Sebagai contoh, saya ingin bawakan perbandingan di antara kaki judi dengan tauke judi. Kaki judi hanya berangan-angan untuk kaya. Beliau telah meletakkan pertaruhan agar nasib menyebelahinya dan beliau berangan agar dapat menjadi jutawan tanpa usaha yang gigih. Berbanding tauke judi, mereka meletakkan matlamat dan mereka tahu bahawa mereka akan beroleh kekayaan hasil dari kebodohan orang lain. Mereka pasti. Mereka yakin kerana mereka melihat ramainya orang yang hanya berangan-angan semata-mata tanpa usaha yang sewajarnya.

Friday, March 12, 2010

Meneladani Krisis Salaf vs. Khalaf di Era Othmaniyyah

www.saifulislam.com


KETERBUKAAN OTHMANIYYAH

Sebagaimana yang kita semua sedia tahu, Othmaniyyah bermazhab Hanafi. Mazhab Hanafi telah menjadi pegangan negara-negara bangsa Turki di era Islam semenjak dari zaman Karakhanid. Dengan tabiat yang wujud di dalam kaedah pengambilan hukum dan pengembangannya di dalam Mazhab Hanafi, masyarakat Othmaniyyah menganggap mereka sebagai terbuka dan fleksibel. Ia memberikan ruang kebebasan yang banyak di bidang siasah dan penguatkuasaan polisi dari semasa ke semasa. Di atas sifat ini, Halil Inalcik berpendapat bahawa Othmaniyyah adalah sebuah masyarakat Islam yang paling bersikap terbuka terhadap pengaruh budaya luar[i].


Keterbukaan Othmaniyyah itu telah mengundang kepada kemasukan unsur yang positif dan negatif. Kemunculan gerakan Kizilbas (“kepala merah”) yang membawa propaganda dan pengaruh Syiah telah menjadi senjata Kerajaan Safavid untuk mengkucar-kacirkan Othmaniyyah. Apabila ancaman ‘rakan sekiblat’ dari golongan Syiah ini muncul, ia telah menimbulkan suatu kesedaran betapa para Sultan perlu benar-benar menguasai ilmu pengetahuan demi untuk berhadapan dengan serangan pemikiran seperti yang dilakukan oleh golongan Kizilbas itu tadi. Sultan Suleyman I telah menuntut ilmu dengan Imam Ebussud (1490 – 1574) untuk tujuan tersebut.

KEMUNCULAN AJARAN SESAT

Perbicaraan yang membabitkan Molla Kabiz (m. 1527) menarik perhatian kita berkaitan dengan isu ini. Ketika mana berlakunya pemberontakan Kizilbas Kalender Celebi di Anatolia pada tahun 1527, Molla Kabiz telah mempertahankan pendapat bahawa Jesus adalah lebih hebat berbanding dengan Rasulullah Muhammad s.a.w. Semasa beliau dibicarakan buat kali pertama di Imperial Council, para kadiasker tidak dapat mendatangkan hujah Syara’ yang cukup untuk membolehkan Molla Kabiz dihukum. Sultan yang tidak berpuas hati dengan hal ini telah menitahkan agar dilangsungkan perbicaraan kedua terhadap Molla Kabiz dan kali ini ia membabitkan perdebatan bersama Sheikh al-Islam Kemal Pasazade yang juga merupakan kadi Istanbul. Sheikh al-Islam telah berjaya mendatangkan hujah yang menyebabkan Molla Kabiz terdiam, namun beliau tetap dengan pandangannya. Akhirnya Molla Kabiz dihukum bunuh selepas perbicaaraan itu.

Ekoran daripada peristiwa itu, pada tahun 1537, semua gabenor telah menerima pekeliling daripada kerajaan Othmaniyyah bahawa sesiapa yang meragui ajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah dianggap sebagai kafir dan boleh dihukum bunuh. Para gabenor juga menerima arahan agar setiap kampung didirikan sebuah masjid dan setiap mukallaf diwajibkan hadir ke Solat Jumaat. Ini merupakan langkah yang diharapkan dapat menjadi mekanisma yang boleh mengesan golongan yang menolak Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.

Kemunculan cabaran yang berbentuk serangan pemikiran di dalam sebuah masyarakat sebesar Othmaniyyah, mendorong kepada munculnya kebiasaan melaksanakan agama secara penguatkuasaan undang-undang (law enforcement) dan hal ini mengundang kepada benih-benih fanatisma di dalam soal beragama[ii].

ANTARA KERAS DAN BERSEDERHANA

Lazimnya, golongan yang keras pendekatannya adalah terdiri daripada sarjana yang masyhur dari kalangan mereka yang mengajar di masjid-masjid besar yang utama. Manakala Ulama’ yang mengambil pendekatan yang lebih bersederhana adalah terdiri daripada mereka yang mengajar di Sekolah Tinggi atau berkhidmat sebagai kakitangan di institusi agama. Di antara mereka itu, adalah Taskopruluzade Ahmed (1495 ““ 1561)[iii].

Taskopruluzade telah mengkritik secara keras terhadap tindakan Ulama’ yang keras kerana pada anggapannya telah mengeksploitasi kejahilan orang ramai dan menjuruskan mereka kepada kesesatan. Katanya, “Allah menghalang kita daripada mendekati mereka yang menonjolkan fanatisma di dalam agama!” Pada tanggapan Taskopruluzade, setiap orang adalah bebas untuk memilih mazhab pegangannya. Dakwaan bahawa mazhab seseorang adalah betul secara muktamad, manakala mazhab-mazhab yang lain sebagai palsu, serta melemparkan tuduhan kufur kepada mana-mana Muslim sebagai bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.

Gerakan yang memilih pendekatan yang berbau fanatisma ini menjadi semakin berleluasa sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan orang ramai dan ia telah menarik perhatian pemerintah untuk mengambil sikap berjaga-jaga.

MEHMET BIRGILI EFENDI


Salah seorang daripada sarjana yang bertindak keras di dalam pengajarannya adalah Mehmed of Birgi (1522 – 1573). Aktivitinya paling menonjol di sekitar tahun 1558 hingga 1565. Beliau telah mengkritik amalan-amalan kebiasaan Othmaniyyah seperti berjabat tangan dan tunduk kerana memberi hormat, budaya mencium tangan, memakai jubah-jubah yang besar dan apatah lagi perbuatan mengadakan upacara-upacara keagamaan di kawasan perkuburan sebagai Bid”‘ah dan mesti dibanteras habis-habisan. Malah serangan Mehmed of Birgi juga menyentuh beberapa polisi rasmi kerajaan Othmaniyyah seperti menggajikan mereka yang bertugas di institusi agama, menganggap pewasiatan wang serta harta alih sebagai wakaf, sebagai polisi yang batil. Pada masa yang sama, tulisan-tulisannya yang menghentam perbuatan membaca mentera dan menari-nari di dalam majlis zikir telah mengundang huru-hara di dalam masyarakat ketika itu.

Anak murid Mehmed of Birgi iaitu Kadizade Ahmed (m. 1635) dan sekumpulan pendakwah yang menjadi pengikut kepada Mehmed of Birgi, dikenali sebagai fakis, meneruskan kontroversi tersebut. Seruan mereka dari mimbar-mimbar Istanbul telah mencetuskan kacau bilau di dalam masyarakat dan menyebabkan masyarakat berpecah kepada dua. Golongan faki­s ini menegaskan bahawa sebarang amalan yang tidak wujud di zaman Nabi s.a.w. adalah Bid’ah dan sesiapa yang mengamalkannya dianggap kafir. Mereka menyatakan juga bahawa rokok tembakau dan kopi adalah haram, seiringan dengan sebarang muzik dan tari menari. Malah tuntutan golongan fakis membawa hingga kepada menuntut agar subjek seperti matematik dan ilmu sains dimansuhkan daripada Madrasah.

Seruan golongan ini berlarutan serta berkembang dan ia sampai ke suatu tahap di mana Sultan Murad IV (1623 – 1640) telah cuba untuk meraih pengaruh lantas menggubal serta menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan rokok tembakau dan alkohol serta tidak bertolak ansur terhadap mereka yang engkar.

Dakwaan golongan faki­s juga mempertikaikan kehidupan mewah para pemerintah serta menyeru kepada penentangan terhadap sebarang ketidakadilan yang berlaku. Pada tahun 1656, mereka menghentam kesemua tekke (pusat kegiatan golongan Sufi) dan cuba untuk melancarkan revolusi agama secara besar-besaran.

SALAFI DIMANIPULASI

Malang sekali, apabila pengaruh golongan faki­s menjadi begitu kuat, khususnya di kalangan rakyat bawahan, terdapat sebahagian pegawai tinggi pemerintah dan ahli politik cuba memanipulasi pengaruh itu dengan menyatakan sokongan mereka kepada golongan fakis. Golongan ini yang secara dasarnya cuba mengembalikan masyarakat kepada Sunnah, telah dijadikan sebagai alat konspirasi oleh golongan ahli politik itu tadi.

Akhirnya Koprulu Mehmed (m. 1661) yang menjadi Perdana Menteri ketika itu telah mengambil tindakan mengusir keluar golongan fakis ini daripada Istanbul demi untuk mengelakkan tercetusnya perang saudara.

PENGAJARAN

Inilah sebahagian daripada sedutan peristiwa yang pernah berlaku di zaman Othmaniyyah. Isu utama yang menjadi pencetus huru hara di masa itu adalah soal BID”‘AH dan fokusnya masih sama dengan apa yang berlaku hari ini.

Di dalam hal ini Katip Celebi[iv] (1609 – 1657) telah membuat ringkasan terhadap pandangan para Ulama berhubung dengan hal ini. Beliau menyatakan bahawa adat istiadat dan Bid’ah yang telah menjadi kebiasaan sebahagian besar masyarakat, tidak boleh dan tidak sepatutnya dihapuskan secara kekerasan. Bid’ah mungkin tidak sejajar dengan kehendak Syara’. Akan tetapi, manusia, sebagai hamba Allah adalah makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Allah s.w.t. ‘menangani’ kelemahan manusia itu dengan sifatnya yang Maha Pengampun, lantas Islam lebih mengutamakan toleransi berbanding paksaan dan kekerasan. Tindakan menggunakan kekerasan ini hanya akan mencetuskan penentangan dan akhirnya mengakibatkan kegusaran serta perpecahan di kalangan masyarakat.

Katip Celebi juga mengusulkan bahawa penyelesaian terhadap fanatisma di dalam agama, boleh diperolehi dengan mengkaji beberapa sains keintelektualan sebagaimana yang diamalkan di era pemerintahan Fatih Sultan Mehmed. Padanya Mehmed of Birgi tidak memahami fungsi adat di dalam masyarakat kerana beliau tidak mempelajari Sejarah dan Falsafah. Katip Celebi juga percaya bahawa perdebatan sememangnya bermanfaat, namun ia terhad kepada sarjana (Ulama’) sahaja, dan tidak seharusnya membabitkan orang ramai.

Usaha yang dilakukan oleh Mehmed of Birgi dan pengikutnya adalah reaksi yang wajar apabila masyarakat semakin terbelenggu dengan amalan-amalan yang menyalahi ajaran Islam. Namun, usaha itu menjadi gagal kerana dua sebab yang berulang-ulang di sepanjang sejarah Islam iaitu:

Fanatisma terhadap pandangan sendiri

Menggunakan pendekatan keras dan paksaan di dalam dakwah

Inilah yang sepatutnya menjadi pelajaran kepada Ummah. Manipulasi golongan politik terhadap seruan ‘pulang kepada Sunnah”‘ ini juga mesti diberi perhatian kerana pendukung Sunnah sudah pun pernah menjadi ‘alat konspirasi’ sesama ahli Politik yang sentiasa memikirkan kepentingan politik mereka sahaja.

Ketika golongan faki­s sibuk dengan isu Bid’ah, pada masa itulah Othmaniyyah jatuh merudum kerana ancaman sebenar pada masa itu adalah:

Serangan kuasa bersekutu dari Barat

Serangan Syiah dari Timur

Rakyat Othmaniyyah sendiri berpecah belah pada masa tersebut.

KONSPIRASI SAFAVID

Pada tahun 1599, Shah Abbas dari Iran telah menghantar dutanya ke Eropah dan membuka kepada perbincangan ketenteraan dan ekonomi ke arah menekan Othmaniyyah secara langsung. Di Vienna, hasrat ini disambut oleh Maharaja dengan baik. Beliau menyatakan keinginan untuk membentuk suatu gagasan anti-Othmaniyyah bersama Russia dan Georgia di Timur, dan dalam masa yang sama akan bekerja keras ke arah menyatukan Raja-raja Kristian di Eropah di dalam satu Perang Salib yang bakal dilancarkan.

1603, perang besar-besaran dilancarkan dan tekanan serentak Timur dan Barat telah membinasakan Othmaniyyah. Bebanan Austria dan Parsi ini telah menjadi sumber luar yang utama kepada ketidakstabilan Othmaniyyah pada era tersebut.

Jika pisang berbuah berkali-kali, ia rezeki yang baik. Namun, sekiranya umat Islam disengat pada lubang yang sama untuk kali yang ke seterusnya, ia suatu petanda yang malang bagi kita.

——————————————————————————–

[i] Halil Inalcik, The Ottoman Empire: The Classical Age 1300 ““ 1600, (London, Peoenix, 1997), muka surat 181

[ii] ibid, muka surat 182

[iii] Taskupruluzade Ahmed (1495 ““ 1561) adalah ahli ensiklopedia Othmaniyyah dan guru sekolah. Beliau paling dikenali kerana tulisannya Shaka-ik al-Nu’maniya, iaitu sebuah biografi di dalam Bahasa Arab yang mengumpulkan 522 sarjana Othmaniyyah dan Mawduat al-Ulum iaitu sebuah ensiklopedia Sains.

[iv] Katip Celebi (1609 – 1657) juga dikenali sebagai Haci Halife, atau nama sebenarnya Mustafa Ibn ‘abd Allah merupakan seorang ahli Sejarah Othmaniyyah yang terkenal, pakar Geografi dan juga seorang ahli bibliografi. Antara karangannya yang paling utama adalah Kashf al-zunun’an asami al-kutub wa al-funun (The Removal of Doubt from the Names of Books and the Sciences) yang mengumpulkan maklumat tentang 15,000 buku di dalam Bahasa Arab, Turki dan Parsi yang terbit di zamannya.